BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan siapakah yang mengeluarkan arahan kepada kakitangan kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk ‘like’ dan ‘share’ akaun media sosial Menterinya.
Ia kerana, katanya, KKMM hari ini menafikan Menterinya sendiri yang mengarahkan untuk kakitangan berbuat demikian.
“Tapi yang disebarkan ialah Unit Komunikasi Korporat Kementerian yang mengeluarkan arahan tersebut, bukan YB Menteri sendiri yang arahkan.
“Yang ditanya, lain yang dijawab pula. Tidak pula dinyatakan dalam statement KKMM hari ini bahawa arahan dari Unit Komunikasi Korporat adalah tidak benar,” katanya menerusi Facebook.
Bagaimanapun, beliau berkata, menerusi laporan dua portal berita, beberapa orang kakitangan kementerian telah sahkan arahan tersebut.
“Dikatakan Unit Komunikasi Korporat yang dipertanggungjawabkan untuk memantau kakitangan supaya ‘follow page’ dan ‘like’ post-post Menteri.
“Jadi, siapa yang mempertanggungjawabkan Unit Komunikasi Korporat jika bukan Menteri sendiri? Pegawai Menteri ke?soalnya.
Sebelum itu, KKMM dalam satu kenyataan hari ini, menafikan mengeluarkan arahan kepada kakitangan kementerian itu untuk ‘like’ dan ‘share’ akaun media sosial Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Menerusi kenyataannya, KKMM berkata, pihaknya sentiasa menggalakkan penyertaan kakitangan bersama menyokong hebahan maklumat kepada khalayak termasuk melalui platform media sosial.
“KKMM ingin menafikan dakwaan tersebut. Tiada sebarang arahan yang dikeluarkan oleh Menteri berkaitan perkara ini,” katanya.
Menurut tangkap layar tersebut, unit komunikasi korporat, KKMM telah dipertanggungjawabkan untuk memantau aktiviti ‘like’ dan ‘follow’ akaun media sosial Saifuddin, Zahidi dan Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek. -Malaysiapost

