Annuar terima permohonan maaf Lokman Adam

0
2

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menerima permohonan maaf bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Adam, sesuai dengan suasana Ramadan yang mulia ketika ini.

Annuar berkata beliau dimaksudkan oleh peguamnya bahawa Lokman hari ini secara ikhlas dan sukarela membuat hantaran di Facebook beliau memohon maaf kepadanya.

“Ia atas kenyataan dan percakapannya yang tidak benar dan melulu terhadap saya dalam salah satu postingnya bertajuk ((GEMPAR)) WhatsApp antara Zafrul/Annuar Musa/Takiyuddin – Projek Untuk Ibu Zafrul & Anak Muhyiddin” yang dibuat pada 13.12.2020.

“Saya memahami bahawa sering menjadi sasaran fitnah dari pelbagai pihak dan sedia menggunakan hak saya untuk menegakkan kebenaran menurut jalur undang-undang.

“Namun tanpa prejudis, saya beranggapan permohonan maaf Datuk Lokman Adam kepada saya adalah ikhlas dan jujur,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata ia juga bersesuaian dengan Ramadan yang mulia ini, di mana umat Islam dituntut memperbanyakkan ibadat dan melakukan amal makruf serta saling memaafkan.

“Saya mengambil pendirian menerima permohonan maaf beliau atas kekhilafan dan kecuaiannya. Saya bersyukur Datuk Lokman Adam telah mengakui kesilapannya.

“Kepada Allah saya berserah. Menegakkan kebenaran dan berkata benar adalah satu kewajipan,” katanya.

Terdahulu Lokman menerusi hantaran di Facebooknya mengakui penyataan dikeluarkan adalah salah dan ‘WhatsApp’ tersebut tidak berkaitan langsung dengan Annuar.

Beliau juga mengakui maklumat yang diterima tidak tepat dan WhatsApp itu adalah antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hasan dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan tiada kaitan langsung dengan Annuar.

“Saya akur dengan kesilapan saya yang menyebabkan nama baik, imej, integriti dan reputasi beliau (Annuar) sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Ketereh tercemar, terjejas dan terpalit dengan komen-komen berbaur fitnah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here