KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 83 kluster Covid-19 melibatkan sektor pendidikan telah dilaporkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata jumlah kluster itu direkodkan dari 1 Januari sehingga semalam dengan 49 kluster membabitkan 2,617 kes masih aktif dan 34 kluster dengan 2,251 kes diisytiharkan tamat.
“Daripada jumlah kluster tersebut juga, sebanyak 39 kluster dengan 1,420 kes melibatkan sub-kategori sekolah/ institusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 19 kluster dengan 1,870 kes melibatkan sub-kategori Pendidikan Tinggi dan 25 kluster dengan 1,578 kes melibatkan sub-kategori pendidikan lain.
“KKM menyambut baik komitmen semua sektor pendidikan dalam memastikan para pelajar dan pelatih tidak ketinggalan mengikuti pembelajaran dan latihan secara berterusan dalam keadaan yang selamat.
“KKM ingin mengingatkan semua pihak untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Adham berkata, KKM sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dalam sektor pendidikan dalam pencegahan, kawalan dan dalam menangani penularan jangkitan.
Beliau berkata, sekiranya Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri menerima laporan atau notifikasi kes positif atau kluster Covid-19, pasukan kesihatan dari PKD akan digerakkan untuk menjalankan siasatan, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan serta penilaian risiko.
Katanya, PKD akan meminta pengurusan pendidikan menjalankan kerja pembersihan serta disinfeksi, dan menerusi hasil penilaian risiko PKD, keperluan penutupan sementara kelas atau premis akan dipertimbangkan.
“Ia bertujuan agar langkah-langkah di atas dapat dijalankan segera untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 di kalangan warga sektor pendidikan termasuk pelajar, guru, pekerja yang bertugas dan selanjutnya kepada komuniti.
“Kerjasama padu KKM dengan kerjasama semua pihak dalam sektor pendidikan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan aspek kesihatan serta keselamatan warga sektor pendidikan terus terjaga,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 19 sekolah di Selangor ditutup selama tujuh hari bagi mengekang penularan Covid-19 berikutan peningkatan kluster melibatkan sektor Pendidikan
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, langkah itu dicadangkan sendiri kerajaan negeri kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) susulan peningkatan kes melibatkan warga sekolah.
Selain itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan semua sekolah yang terletak di zon merah Covid-19 negeri itu ditutup dua minggu bermula Selasa lalu.
Beliau berkata, ia demi kesihatan pelajar dan masyarakat di zon merah, Kerajaan Negeri Sarawak memutuskan untuk menutupkan sementara operasi semua sekolah di kawasan berkenaan. – Malaysiapost

