Lokman Adam mohon maaf kepada Annuar Musa

0
2

BEKAS Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan terhadap Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau membuat permohonan maaf itu melalui satu kenyataan hari ini yang turut disiarkan di Facebooknya.

“Saya dengan setulus hati dan sejujurnya memohon maaf tanpa syarat kepada Tan Sri Annuar Musa di atas kenyataan salah dan tuduhan melulu yang dibuat saya terhadap beliau yang diterbitkan dalam laman Facebook ‘Lokman Adam’, Facebook Profil ‘Lokman Adam’ dan melalui video di saluran YouTube ‘Lokman Adam’ yang bertajuk ‘Gempar WhatsApp antara Zafrul/Annuar Musa/Takiyuddin – Projek untuk ibu Zafrul & Anak Muhyiddin pada 13 Disember 2020.

“Saya mengakui penyataan saya keluarkan terhadap beliau adalah salah dan saya akui ‘WhatsApp’ tersebut adalah tidak berkaitan langsung dengan Tan Sri Annuar Musa. Saya akui pengesahan maklumat yang saya buat adalah tidak tepat sehingga saya mengeluarkan kenyataan tidak tepat,” katanya.

Beliau mengakui maklumat yang diterima adalah tidak tepat dan WhatsApp itu adalah antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hasan dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan tiada kaitan langsung dengan Annuar.

“Saya akur dengan kesilapan saya yang menyebabkan nama baik, imej, integriti dan reputasi beliau (Annuar) sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Ketereh tercemar, terjejas dan terpalit dengan komen-komen berbaur fitnah.

“Saya menyesali kesilapan saya dan menarik balik keseluruhan kenyataan dan tuduhan itu serta beraku janji untuk tidak mengulang penyataan tersebut lagi.

“Sekali lagi dengan tulus ikhlas saya memohon maaf kepada Tan Sri Annuar Musa di atas kekhilafan saya,” katanya.

Sementara itu, Annuar dalam kenyataan ringkas menerusi hantaran Facebook berhubung perkara itu menyatakan beliau menyerahkan semuanya kepada Allah.

“Kepada Allah saya berserah… Selamat Berpuasa.Semoga Ibadat di terima Allah,” tulisnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here