Gurau kasar Covid-19 guris hati Tuan Asmawi

0
3

“APA khabar, ingat sudah meninggal tadi,” demikian antara gurauan kasar diterima pendakwah terkenal, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar yang disahkan dijangkiti Covid-19 semalam.

Penasihat Kehormat Media dan Korporat Pertubuhan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) itu, nyata kecewa dengan sikap tidak prihatin berkenaan yang disifatkan bergurau tidak kena pada situasi ketika beliau dan isteri kini dirawat akibat Covid-19.

Beliau meluahkan perasaannya di Facebook malam tadi dan turut berkongsi keadaan terkini kesihatan isterinya, Farisha Irwayu Ghali yang agak teruk kesan jangkitan wabak berkenaan.

“Saat ini kondisi isteri ambo (saya) @farishairwayu.my di Pusat Kuarantin MAEPS Serdang, beliau masih batuk, tekanan darah rendah, badannya kekuningan. Situasi ini cukup memilukan ambo sebab sebagai suami ambo tidak dapat berada di sisinya ketika beliau sakit, kerana ambo sendiri juga didapati positif Covid-19.

“Sewaktu ambo berada di hospital akibat denggi, beliau menjaga ambo dengan baik. Betul-betul ambo rasa bersalah kerana tidak mampu melakukan yang sepatutnya kepada beliau.

“Lebih menyedihkan ambo dalam ramai-ramai yang mendoakan kesejahteraan ambo dan isteri, ada juga yang bergurau kasar dalam telefon bertanyakan khabar ambo.. “apa khabar, ingat sudah meninggal tadi..” gurauan ini cukup menghiris perasaan ambo,” luahnya.

Tuan Asmawi berkata, walaupun sedih dengan perkara itu, beliau bersyukur kerana masih ramai yang mendoakan keselamatan dan kesejahteraan dirinya dan isteri.

Terdahulu dalam satu lagi hantaran di Facebooknya, Tuan Asmawi memaklumkan menerima panggilan daripada Unit Kesihatan Awam, Hospital Selayang kira-kira jam 3 petang semalam mengenai keputusan ujian saringan Covid-19 yang dibuatnya kelmarin.

“Hasil ujian itu mendapati ambo juga positif Covid-19 seperti isteri yang kini berada di Pusat Kuarantin MAEPS, Serdang.

“Atas keadaan ini, ambo mohon maaf bagi mereka yang berurusan atau bertemu dengan kata lain ‘kontak rapat’ untuk segera menjalankan ujian saringan bagi maksud pengesanan status diri masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here