Pengusaha Adam Char Kuey Teow maut nahas

0
2

PENGUSAHA char kuetiau popular di Permatang Pauh, Pulau Pinang maut dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 133.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara dekat Seberang Jaya, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.15 malam itu, Zamri Juhari, 33, pengusaha Adam Char Kuey Teow yang menunggang motosikal berkuasa tinggi Honda CBR 100 meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata kemalangan melibatkan dua motosikal dan sebuah kereta.

“Insiden dipercayai apabila pemandu kereta berusia 52 tahun dalam perjalanan dari Seberang Jaya ke Sungai Dua yang berada di lorong paling kanan terdengar dentuman di sebelah kiri kereta dipandunya sebelum ternampak sebuah motosikal berkuasa tinggi terbabas ke kiri jalan.

“Pada masa sama terdapat motosikal jenis Yamaha 15 ditunggang lelaki berusia 24 tahun tidak sempat mengelak motosikal berkuasa tinggi berkenaan menyebabkannya turut terbabas dan penunggangnya cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafee berkata, penunggang Yamaha Y15 itu memaklumkan ketika berada di lorong motosikal, dia melihat motosikal Zamri dalam keadaan terhuyung-hayang di hadapan motosikalnya.

“Impak pelanggaran itu mengakibatkan mangsa yang juga peniaga char kuetiau maut, manakala penunggang Yamaha 15 yang bekerja sebagai pembantu juruteknik kilang luka di tangan dan kaki.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat manakala penunggang Yamaha 15 turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan,” katanya lagi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here