SERAMAI 159 pelajar dari lima sekolah di Johor Bahru diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 setakat semalam.
Mereka menjalani ujian saringan tersebut di Pusat Sehenti Penilaian Covid-19 (OSCAC) di Pasir Gudang dan Bukit Indah.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata tindakan kawalan telah dijalankan bagi memastikan tiada penularan berlaku di sekolah yang dikenalpasti.
Katanya, bagi setiap warga sekolah yang dilaporkan positif, Jabatan Kesihatan negeri akan membuat pemantauan dan saringan kontak rapat bagi memastikan tiada penularan Covid-19 dalam sekolah.
“Kebelakangan ini, Johor melihat peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan dalam kalangan warga sekolah, melibatkan guru dan pelajar.
“Kebanyakan kes adalah penularan di rumah ekoran daripada aktiviti sosial keluarga, di mana ahli keluarga dari jauh bertemu dan berkumpul untuk bermesra di dalam rumah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Vidyananthan berkata kebanyakannya tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan membabitkan amalan 3S iaitu ruang sempit, sesak dan sembang dekat.
Malah katanya, masih ada keluarga yang mengadakan aktiviti sosial seperti berkumpul di pusat hiburan, kenduri kahwin dan aktiviti riadah lain secara berkumpulan.
Beliau turut memaklumkan, setakat semalam seramai 1,117,201 atau 39.4 peratus penduduk Johor telah mendaftar dalam MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin imunisasi Covid-19. – Malaysiapost

