“LEPAS dah tular, hari ni baru KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) nak siasat insiden yang berlaku ni,” kata pengasas parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Meskipun lega tindakan pantas KKM menyiasat isu kompaun yang dikenakan terhadap seorang pelajar kolej matrikulasi di Perak, Ahli Parlimen Muar itu tetap berasa kesal.
Katanya, isu yang berlaku terhadap rakyat itu pasti tidak dapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkuasa jika tidak menjadi tular.
“Kalau orang ramai tak tularkan berita ini, maksudnya pelajar kena bayar juga kompaun ni.
“Begitu mudah untuk pelajar kena hukum serta merta. Tapi kalau Menteri dan VIP, urusannya banyak sekali,” catatnya di Facebook, hari ini.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga kesal terhadap tindakan penguatkuasa yang tidak menggunakan budi bicara untuk terus menghukum pelajar matrikulasi tersebut yang sememangnya telah ‘terkurung’ dari dunia luar sejak lima bulan yang lalu.
“Mereka semua dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai mask di kawasan kafe. Saya tegur KKM kerana tindakan begini. Iyalah, mengapa begitu cepat mengenakan kompaun kepada para pelajar?
“Kompaun juga bukan murah. RM1,500 setiap seorang. Mana pelajar nak cari wang bayar kompaun? Pegawai berkuasa seharusnya tegur terlebih dahulu mereka yang tidak pakai mask. Kadang-kala, ramai yang tak sengaja turunkan mask dan sebagainya,” catatnya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi jaminan bahawa pihaknya akan menyiasat seorang pelajar kolej matrikulasi di Perak yang telah dikenakan kompaun RM1,500 semalam.
Tambah Saddiq, jika terdapat Menteri dan golongan kenamaan melanggar SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berkuasa agak lambat untuk menghukum mereka dengan memberi alasan pelbagai prosedur terpaksa dilalui seperti kena membuka kertas siasatan dengan merujuk ke Jabatan Peguam Negara terlebih dahulu.
“Tapi kalau pelajar, terus saman serta merta,” katanya. – Malaysiapost

