PELAKON dan penerbit popular, Sheila Rusly mencuri tumpuan apabila melakukan ibadah dengan bersolat terawih secara berjemaah di sebuah pusat boling di Petaling Jaya, semalam.
Menerusi satu hantaran video di Instagramnya, Sheila berkongsi suasana menjalani solat terawih di pusat boling yang difahamkan terletak di pusat membeli-belah, One Utama, Petaling Jaya.
“Malam kelapan. Tiada lagi alasan. Islam itu syumul (sempurna dan menyeluruh). Iftar (berbuka puasa) dan tarawih bersama dengan keluarga besar saya,” tulisnya.
Dalam video itu juga, kelihatan suaminya, Jinggo sedang mengimamkan solat sambil diikuti kumpulan jemaah lelaki dan perempuan di belakangnya.
“Solat Isyak dipimpin oleh Tuan Haji Jinggo (suami), manakala solat sunat terawih dipimpin oleh saudara @itsokaymarr,” katanya.
Walaupun di pusat boling tersebut kelihatan sibuk dengan segelintir pengunjung dilihat sedang bermain boling, namun aktiviti ibadah tidak terganggu dan selesai dengan salam bersalaman.
Menerusi keterangan pada kapsyen, difahamkan video suasana solat tarawih di pusat boling tersebut dirakam oleh bakal menantunya yang juga pelakon, Elisya Sandha.
Tindakan Sheila itu mengundang pujian pengikut Instagramnya yang menyatakan syukur dan menyifatkan sebagai contoh terbaik boleh diteladani.
“Allahu rabbi sejuk mata memandang. Sampai ke tempat bowling solat,” kata Yusri Amir.
“Alhamdulillah rapatkan lagi ukhuwah, mama Sheila….,” tulis Nur Sarah. – Malaysiapost

