Guan Eng mungkin dirujuk ke JK Hak dan Kebebasan – Tuan Ibrahim

0
2

BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di Parlimen hari ini, jika benar beliau membuat kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat semalam.

Ia berkaitan 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang didakwa dilulus secara runding terus oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata adalah mengejutkan apabila Guan Eng mendakwa semua projek tersebut telah diluluskan oleh Kabinet.

Bagaimanapun, katanya, lebih mengejutkan apabila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga bekas menteri kerajaan PH menafikan perkara tersebut.

“Jika apa yang dikatakan Azmin benar, maka ini bermakna Lim telah melakukan suatu pembohongan dalam dewan yang mulia dan perkara ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan oleh YB Shahidan Kassim (BN – Arau) esok,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, parti itu menggesa agar semua projek runding terus yang telah diluluskan, kos projek dan kontraktor yang memperoleh projek tersebut disenaraikan untuk tatapan umum.

“Rakyat tentu terkejut dengan pendedahan tersebut kerana selama ini PH melaungkan slogan tiada projek runding terus, bahkan dalam manifesto PH semua projek akan dibuat secara tender terbuka.

“Sikap hipokrit PH ini semestinya tiada tandingan meskipun mereka sering menuduh orang lain. Berita ini tentunya menjadi bola tanggung dan menyemarakkan lagi siri kempen dalam Pilihan Raya Kecil Slim yang sedang berlangsung,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mendedahkan terdapat 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion diluluskan ketika pentadbiran kerajaan PH.

Pendedahan itu menimbulkan suasana heboh apabila beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) meminta menteri untuk mengulang semula pendedahan itu selain menuntut senarai penuh projek berkenaan.

Guan Eng kemudian bangun untuk menjawab pendedahan itu dan terbuka jika Tengku Zafrul mahu memberitahu senarai penerima, selain mendakwa ia diluluskan oleh Kabinet. – Malaysia Post