Kurma Ajwa jadi pilihan pelengkap juadah ketika Ramadan

0
2

Nurul Huda Abhar

TATKALA menjelang Ramadan, kurma atau tamar amat sinonim menjadi pelengkap utama juadah berbuka ataupun semasa bersahur.

Pelbagai jenis kurma boleh didapati di pasaran, dan semestinya negara beriklim panas yang menjadi pengeksport utama iaitu Mesir, Arab Saudi, Iran, Algeria dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kurma Ajwa, atau digelar ‘kurma nabi’ antara pilihan utama pembeli yang datang ke gerai menjual pelbagai jenis kurma di Bazar Aidilfitri, Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR).

Menurut Umie Maizurah Sahidi, penjual kurma di Bazar Jalan TAR, setiap tahun ramai pembeli yang akan ke gerainya untuk mencari kurma ajwa.

Beliau berkata, meskipun harga kurma Ajwa sedikit mahal kerana ia adalah dalam kategori premium tetapi tetap menjadi pilihan ketika bulan Ramadan.

“Selalunya yang datang ke gerai kami mencari kurma Ajwa kerana sebelum ini mereka pernah beli di sini. Mereka selalu cakap akan datang ke gerai kami di Jalan TAR untuk beli kurma Ajwa secara timbang.

Kurma Ajwa yang dijual secara timbang di Bazar Aidilfitri Jalan TAR

“Harga kurma Ajwa memang mahal tetapi peminat dia memang akan cari. Sebabnya, rasanya yang sedap, dan kualiti dia berlainan. Bagi sesiapa yang biasa makan, selalunya akan pilih kurma ajwa dahulu,” katanya kepada Malaysiapost ketika tinjauan di Bazar Aidilfitri Jalan TAR.

Harganya bermula sekitar RM13 untuk 100 gram dan boleh mencapai sehingga RM70 mengikut berat, jenis dan promosi yang ditawarkan setiap peniaga kurma.

Menurut Umie Maizurah, selain kurma Ajwa, kurma Mariami juga dijual secara timbang dan menajdi kesukaan kerana teksturnya yang tidak terlalu kering dan basah.

“Selain ajwa pembeli juga meminati kurma Mariami. Sebenarnya pembeli ini ikut cita rasa masing-masing. Sebab ada juga yang datang mereka cari mariami sebab dia kata kurang manis, dan harganya murah berbanding ajwa,” katanya.

Sementara itu, Auni Abd Halim, 18, juga menjual kurma berkata pembeli kebiasaanya tidak akan kisah dengan perbezaan harga kurma ajwa berbanding jenis yang lain kerana sedia maklum dengan kualitinya.

Auni berkata, harga bekalan kurma masih dalam lingkungan terkawal dan tidak mengalami peningkatan harga mendadak seperti barang keperluan lain.

“Untuk kurma ajwa kami ambil terus pembekal dari Madinah. Kurma lain seperti yang dalam kotak datang dari banyak negara luar. Stok yang kami ambil semua dari jenama yang terpilih.

“Harga Ajwa di gerai kami memang mahal sebab ini ‘Ajwa jumbo’. Selain daripada kurma, pembeli datang cari serunding daging dan ayam. Serunding ini datang khas dari Kelantan,” ujarnya.

Kurma juga sebenarnya menyumbang tenaga serta-merta kepada mereka yang memakannya apatah lagi, selepas 12 jam berpuasa. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/04/14/penumpang-minta-izin-berbuka-dalam-tren-ini-reaksi-rapid-kl/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here