Sabah selamanya kekal sebahagian Malaysia, tegas Hishammuddin

0
2

MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sekali lagi menegaskan pendirian Putrajaya bahawa Sabah akan selamanya kekal sebahagian daripada Malaysia.

Kenyataan itu dikeluarkan beliau susulan satu lagi isu berkaitan tuntutan ke atas Sabah oleh Filipina.

Ia susulan keputusan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina semalam membenarkan cetakan peta negara itu meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam pasport negara berkenaan.

“Saya telah menyatakan pendirian Malaysia berhubung Sabah sebelum ini, tidak ada persoalan tentangnya – Sabah akan selamanya menjadi sebahagian daripada Malaysia,” tulisnya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Dalam ciapan berasingan, Hishammuddin turut menyertai klip video jawapan beliau di Parlimen pada 5 Ogos lalu yang Malaysia tidak akan mengiktiraf tuntutan pihak asing terhadap Sabah. 

“Seperti yang saya katakan di Parlimen – Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan akan kekal begitu.”

Isu tuntutan Sabah oleh Filipina berlarutan sejak sekian lama dan kembali hangat kebelakangan ini.

Pada 27 Julai lalu, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr mendakwa Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia pada ketika negeri itu dalam keadaan ‘kalut’ dengan isu pertukaran kerajaan negeri.

Kenyataan Locsin di laman Twitternya itu sebagai reaksi terhadap kedutaan Amerika Syarikat di Filipina sekali gus mengundang reaksi negatif daripada rakyat Malaysia.

Susulan itu, Hishammuddin mengarahkan Wisma Putra memanggil Duta Besar Filipina di Kuala Lumpur bagi menjelaskan kenyataan yang menyentuh mengenai kedaulatan Malaysia.

Hishammuddin kemudiannya membalas kenyataan tersebut sambil menyifatkan dakwaan Locsin itu sebagai ‘satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab’.

Sebagai rekod, Sabah, Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura membentuk Malaysia pada 1963 di bawah perjanjian antarabangsa yang disebut Perjanjian Malaysia 1963.

Bagaimanapun kontroversi pemimpin Filipina menuntut Sabah tidak pernah berakhir dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada 2016 turut meluahkan niatnya meneruskan tuntutan ke atas Sabah.

Pada Februari 2019, Duta Filipina ke Malaysia, Charles Jose ketika kembali melawat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut bertegas mengekalkan tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Wisma Putra kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan menegaskan Sabah ialah sebahagian daripada Malaysia, seperti diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa sejak pembentukan Persekutuan pada 16 September 1963. – Malaysia Post