PRN Sabah: Wisma Putra diminta panggil Duta Filipina

0
2

Awang Abdullah

KERAJAAN Sabah meminta Wisma Putra memanggil Duta Filipina di Kuala Lumpur untuk memberikan amaran keras kepada negara itu berhubung pelanggaran kedaulatan Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Kementerian Luar perlu mengambil tindakan tegas bagi menghentikan provokasi dan perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan negara jiran itu.

“Rakyat Sabah dijanjikan keselamatan dan perlindungan ketika penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963, oleh sebab itu Kementerian Luar perlu mengambil tindakan tegas terhadap perkara yang melanggar kedaulatan Sabah serta provokasi yang tidak sepatutnya.

“Sabah adalah negeri yang berdaulat dan perkara ini telah diselesaikan sejak sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu.

Ia susulan keputusan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina membenarkan cetakan peta negara itu meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam pasport negara berkenaan.

Mohd Shafie berkata, Wisma Putra tidak boleh berlembut selepas pihak berkuasa Filipina mengeluarkan pelbagai kenyataan tidak masuk akal sejak akhir-akhir ini.

“Sabah adalah negeri merdeka di dalam Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah diterangkan dan diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Berikutan itu, walau apa cara sekalipun, Filipina tidak mempunyai asas, sejarah atau lunas perundangan untuk membuat tuntutan ke atas Sabah.

“Amat dikesali apabila Filipina bertindak bertentangan dengan semangat ASEAN dan prinsip asas saling menghormati kedaulatan, kesaksamaan, integriti wilayah masing-masing dan identiti bagi setiap negara anggota ASEAN,” katanya.