Jangkitan petugas kesihatan 10 kali ganda lebih rendah

0
2

JUMLAH 40 petugas kesihatan yang telah menerima dua dos vaksin dan dijangkiti Covid-19 adalah 10 kali ganda lebih rendah berbanding jangkitan sebelum vaksinasi terhadap petugas barisan hadapan. 
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata bukan kecil angka petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 sebelum program vaksinasi bermula dan yang meninggal dunia juga berlaku. 
Menurutnya, sebelum ini hampir 4,800 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 dan ia tidak termasuk petugas barisan hadapan yang lain. 
“Ada yang berhujah angka 40 itu untuk tempoh sebulan dan tidak adil dibandingkan 4,800 untuk tempoh Mac 2020 hingga Februari lalu.
“Baik. Cuba kita tengok purata untuk sebulan sebelum vaksin, iaitu 4,800 dibahagikan 11 bulan itu bersamaan 436 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 setiap bulan. 
“Tidakkah 40 petugas kesihatan dijangkiti sebulan adalah 10 kali ganda penurunan kes berbanding purata 436 kes sebulan sebelum divaksinkan?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 
Beliau berkata, satu lagi petunjuk jelas adalah bilangan 40 orang yang dijangkiti berbanding 438,000 individu yang telah melengkapkan dua dos vaksin adalah peratus yang sangat kecil. 
“Sebanyak 99.9 peratus dari individu yang menerima dua dos vaksin itu tidak kena jangkitan tersebut walaupun mereka adalah petugas barisan hadapan yang setiap hari berurusan dengan pesakit Covid-19. 
“Tidak sama dengan orang kebanyakan, pendedahan mereka kepada risiko jangkitan sangat tinggi pada hari ini berbanding tahun lepas. 
“Hari ini, kes sehari sekitar 2,000 positif, tahun lalu cuma sekitar puluhan, ratusan sahaja,” katanya. 
Beliau berkata, perbandingan itu juga dalam keadaan kebolehjangkitan dan kadar positif harian negara jauh lebih tinggi hari ini berbanding tahun lalu di mana petugas kesihatan kini lebih banyak tugas saringan, berdepan pesakit Covid-19 dan merawat mereka secara langsung.
“Kadar penurunan mendadak kes positif Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan menerima dua dos vaksin ini juga selari perkembangan yang sama di negara lebih awal melaksanakan vaksinasi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here