POLIS menegaskan pihaknya tidak memberi sebarang layanan istimewa terhadap suspek kes dera pengawal peribadi kerana berpuasa, seperti didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya permohonan maaf yang dikeluarkan suspek adalah ketika proses pemindahan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ke IPD Klang Selatan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata insiden berlaku secara kebetulan semasa suspek hendak diserahkan ke IPD Klang Selatan.
“Ramai wartawan masih berada di IPD sejurus selesai sidang media Ketua Polis Daerah Dang Wangi berkaitan isu video raya yang mempromosi judi.
“Suspek yang diambil oleh anggota IPD Klang Selatan secara kebetulan melalui lobi dan wartawan mengambil gambar suspek sementara menunggu kenderaan IPD Klang Selatan sampai ke pekarangan lobi dan sepintas lalu suspek bercakap begitu saja,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Beliau berkata, ia juga bukan dari sidang media yang dibuat suspek seperti didakwa sesetengah pihak.
“Wartawan juga tidak bertanya apa-apa soalan kepada suspek sebaliknya dia dengan sendirinya bercakap memohon maaf dalam bahasa Cina dan dipetik oleh wartawan yang ada pada ketika itu.
“Justeru polis memohon pihak tertentu agar tidak mengambil kesempatan untuk memanipulasi isu berkenaan,” katanya.
Semalam, suspek berkenaan menyatakan permohonan maaf kepada pihak media ketika dia dibawa oleh dua anggota polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi.
Video permintaan maaf itu disiarkan The Star dan dia kemudian dibawa menaiki sebuah kereta polis untuk diserahkan ke IPD Klang Selatan selepas tempoh remannya di IPD Dang Wangi tamat.
Suspek adalah seorang daripada lima individu yang direman bagi membantu siasatan kes dua pengawal peribadi dibelasah dan diacu pistol oleh majikannya di sebuah rumah di Batu Nilam, Klang pada 13 April lalu. -Malaysiapost
Foto Kredit: Awani
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/04/17/majikan-belasah-bodyguard-kerana-berpuasa-mohon-maaf/

