30 peratus jangkitan di Kelantan dari kalangan warga sekolah – MB

0
3
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob

KERAJAAN Kelantan akan mengambil beberapa lagi langkah bagi mencegah penularan Covid-19 di tempat kerja, sekolah, masjid dan komuniti.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata ia berikutan Kelantan kini mencatat kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R naught (Rt) tertinggi dalam negara iaitu 1.32.

Menurutnya, terdapat 2,627 sampel ujian Covid-19 yang masih belum mendapatkan keputusan.

Lebih membimbangkan lagi, katanya, penggunaan katil hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) semakin meningkat.

“Sebanyak 23 peratus kes dikesan tidak melibatkan kontak rapat yang menunjukkan jangkitan dalam komuniti sangat tinggi.

“Justeru, langkah penutupan sekolah-sekolah dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan berikutan 30 peratus jangkitan adalah dari kalangan warga sekolah.

“Sehubungan itu, beberapa langkah akan diambil bagi mengatasi penularan di tempat kerja, sekolah, masjid dan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sepanjang tempoh PKP ini, beliau meminta orang ramai untuk mengadakan Solat Hajat di masjid dan kediaman, memperbanyakkan bacaan Al-Quran dan bersedekah.

“Mudah-mudahan dengan amalan taqqarub itu dan keberkatan bulan Ramadan wabak ini dapat dibendung,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri meminta penduduk Kelantan dan semua pihak untuk mengambil peranan dan tanggungjawab bagi membendung penularan dengan memastikan saranan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sentiasa dipatuhi.

Terdahulu, kerajaan melaksanakan PKP di tujuh daerah di Kelantan selama dua minggu, bermula 16 April lalu.

PKP di Kelantan membabitkan daerah Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah.

Mulai hari ini sehingga 24 April, semua sekolah di tujuh daerah tersebut ditutup bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here