KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) membuat pinjaman baharu sebanyak RM69 bilion setakat ini bagi tahun 2021, kata Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Perdana Menteri itu berkata pinjaman baharu itu dibuat secara berperingkat sebanyak 22 kali antara 7 Januari hingga yang terbaharu pada 16 April lalu.
Maklumat mengenainya dikongsi Ahli Parlimen Pekan itu menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Katanya, ia dibuat ketika darurat masih berkuatkuasa, Parlimen digantung dan akta kewangan bagi mengawal perbelanjaan digantung.
“Covid gagal dikawal selepas tiga bulan darurat. Vaksinasi Covid masih lambat.
“Dalam tempoh darurat, Silterra dijual pada harga murah. Turut dijual termasuk sebahagian besar Celcom.
“Perdana Menteri kata kerajaan tak ada banyak wang lagi seperti dahulu. Kerajaan saran penjawat awam potong gaji dan berwakaf untuk bantu ekonomi negara,” katanya.
Baru-baru ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kerajaan telah membelanjakan banyak wang iaitu RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat Covid-19.
“Sudah banyak kita belanjakan wang tahun ni, tahun lepas. Apa sebab? Covid-19. RM340 bilion untuk pakej-pakej rangsangan, RM322 bilion untuk belanjawan,” katanya. – Malaysiapost

