Anggota polis maut ketika kejar penjenayah

0
3

ANGGOTA Balai Polis Dato Keramat di Pulau Pinang meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika mengejar penjenayah di Jalan Utama di George Town, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata dalam kejadian itu, Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan, 20, bersama dua lagi anggota polis menjalankan rondaan cegah jenayah pada jam 1 pagi di kawasan Jalan Scotland, sebelum melihat seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Tiga anggota yang masing-masing menunggang motosikal itu meminta lelaki berkenaan untuk memberhentikan motosikalnya namun suspek memecut dan menunggang dalam keadaan berbahaya, dengan melakukan aksi ‘zig zag’ bagi mengelak ditahan polis.

“Mereka mengejar lelaki itu sehingga ke Jalan Utama. Muhammad Iqbal cuba menghampiri motosikal lelaki terbabit, namun suspek melanggar motosikalnya sehingga mangsa terjatuh dan kepalanya terhantuk di tebing jalan.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Pulau Pinang di George Town malam tadi, lapor Bernama.

Soffian berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan di lokasi kemalangan dan ujian air kencing didapati positif dadah.

“Suspek mempunyai enam rekod berkaitan dadah dan lima kes jenayah. Lelaki itu akan direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh, serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Jenazah Muhammad Iqbal yang bertugas dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 18 bulan lalu akan dibawa ke Kampung Air Tawar, Besut, Terengganu untuk dikebumikan.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham adalah Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan.

Sementara itu Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, dalam akaun Facebook rasminya menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham Muhammad Iqbal.

“Saya dan isteri mengucapkan salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Penang Netizen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here