BEKAS pegawai polis berpangkat Inspektor diberkas di Alor Setar, Kedah semalam kerana disyaki menyebarkan fitnah dan tomahan mengenai kartel dalam Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Pengarah JSJ Datuk Huzir Mohamed, berkata tangkapan dibuat susulan penularan satu artikel bertajuk ‘Maklumat kumpulan kartel Bahagian D7 JSJ Bukit Aman yang terbabit dengan salah guna kuasa, melindungi, bersubahat, bersekongkol dan menerima rasuah daripada pelbagai sindiket jenayah terancang’ sejak dua minggu lalu di media sosial.
Menurutnya, penularan itu menimbulkan keraguan serta kegusaran kepada masyarakat kerana salah laku itu dikatakan melibatkan pegawai dan anggota polis dari Bukit Aman.
“Siasatan awal mendapati artikel itu adalah satu tohmahan yang sangat serius dimana mengandungi senarai pegawai dan anggota dari Bahagian D7 Bukit Aman berserta gambar dimuat naik ke media sosial.
“Pegawai dan anggota terbabit dikaitkan dengan beberapa sindiket jenayah terancang seperti Geng Nicky, Geng Addy Kanna, Geng Wan Padang Besar, Geng Pak Su Bukit Kayu Hitam dan Geng Tiger 99,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tohmahan itu memberi kesan negatif kepada imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) amnya dan pegawai serta anggota polis berkenaan khasnya.
Menurutnya, setakat hari ini sebanyak empat laporan polis telah dibuat oleh pegawai yang ditomah dan kertas siasatan dibuka serta kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
“Susulan itu satu serbuan di sebuah rumah di Alor Setar pada jam 11.24 malam semalam dan menahan bekas pegawai berkenaan.
“Turut dirampas komputer riba, telefon bimbit, pendrive, kad sim, dan lain-lain peralatan yang dipercayai digunakan untuk menyebarkan fitnah berkenaan,” katanya.
Menurutnya, suspek sebelum ini di jatuhkan hukuman pengawasan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) dibawah Op Mualang ynag dilaksanakan Bahagian D7 Gengsterisme, JSJ Bukit Aman bagi mencecah aktiviti kongsi gelap di sekitar Klang, Selangor.
“Suspek juga dipercayai pernah membuat beberapa tohmahan lain sebelum ini terhadap pegawai dan anggota Bahagian D7 Gengsterisme Bukit Aman.
“Tujuan suspek bertindak sebegini adalah kerana marah, tidak puas hati dan denda terhadap pasukan siasatan yang mengambil tindakan terhadapnya sehingga diberhentikan kerja dan dikenakan pengawasan selama dua tahun di Alor Setar di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959,” katanya.
Huzir berkata, sehubungan itu polis menasihatkan orang ramai untuk menghentikan sebarang spekulasi, andaian tidak berasas dan tidak benar selain diingatkan supaya tidak berkongsi atau menyebarkan isu tular itu dimana-mana saluran media sosial bagi mengelakkan kegusaran masyarakat. – Malaysiapost

