Fitri Nizam
[Covid-19] SEORANG wanita mengandung antara tujuh kes baharu positif Covid-19 yang dikesan di seluruh negara sehingga jam 12 tengah hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada lima kes di Sarawak itu tiga daripadanya adalah membabitkan bukan warganegara dan dua lagi adalah warga Malaysia.
“Terdapat tiga kes membabitkan bukan warganegara di mana dua daripadanya dikesan ketika ujian saringan di tempat kerja. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.
“Satu lagi kes dikesan ketika menjalankan ujian saringan sebelum individu itu dibenarkan pulang ke negara asal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua kes membabitkan warganegara di Sarawak itu melibatkan saringan sebelum bersalin dan sudah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak
“Seorang lagi dikesan apabila ujian saringan di tempat kerja dijalankan dan sudah dimasukkan ke hospital sama,” katanya.
Noor Hisham berkata, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan warga Malaysia yang balik dari Filipina dan Amerika Syarikat. – Malaysia Post

