Posmen warga M’sia di Singapura sebak tahan rindu, setahun tak jumpa keluarga

0
2

SEORANG warga Malaysia yang bekerja sebagai posmen di Singapura sebak kerana tidak dapat menahan kerinduan terhadap isteri dan anaknya selepas lebih setahun terpisah dek kerana Covid-19.

Azrizal Abdul Malik, 34, berkata sewaktu kerajaan mengumumkan sempadan antara Singapura dengan Malaysia bakal ditutup tahun lalu, beliau menyangka akan berjauhan daripada isteri dan anaknya selama dua minggu sahaja.

“Memang inilah tempoh paling lama saya tak jumpa dengan keluarga. Saya memang tak pernah jauh dengan isteri dan anak sebelum ini. Rindu dan sedih,” katanya seperti dilapor Berita Harian Sg.

Beliau yang merupakan bapa kepada anak lelaki berusia empat tahun itu merupakan antara posmen Malaysia di bawah SingPost yang sudah sekian lama tidak kembali ke tanah air.

Sementara itu, seorang lagi posmen, Muhd Aizuddin Musa, 28 tahun pula berkata, sepanjang pengalamannya menginap di Singapura, beliau mendapat sokongan moral daripada rakan-rakan kerjanya di SingPost yang beliau sudah anggap ibarat ‘keluarga kedua’.

“Kami semua amat rapat dengan satu sama lain. Mereka banyak menyokong, dan mereka merupakan orang di mana saya boleh berkongsi cerita, berbual bahkan meluahkan masalah untuk mendapatkan pendapat.

“Malah pihak pengurusan SingPost juga sentiasa bertanyakan keadaan kami,” ujarnya.

Manakala, rakan mereka Khairul Faris Abdul Wahab, 29 tahun, berkata, dia nyaris-nyaris pulang ke Malaysia tahun lalu kerana risau akan kesihatan kedua orang tuanya turut berkongsi perasaan serupa.

Menurutnya, ‘abang-abang’ dan ‘kakak-kakak’ Singapura di SingPost baik dengan pekerja Malaysia sepertinya.

Malah, katanya, terdapat seorang makcik yang beliau anggap seperti ibunya sendiri memasak juadah raya buatnya pada sambutan Aidilfitri tahun lalu.

“Tahun ini, mak cik itu merancang melakukan yang perkara yang sama. Jadi saya rasa saya ada keluarga juga di sini, itulah yang membuat saya boleh terus berada di sini,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit : Berita Harian Singapura

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here