Iklan judi Aidilfitri: Pelakon mohon maaf, akui tidak tahu

0
2

PELAKON iklan promosi judi Aidilfitri yang tular semalam, mengakui dia serta rakan yang terlibat tidak tahu iklan itu dikaitkan dengan aktiviti judi.

Saifullah Mohd Yunus mendedahkan, dia hanya mengetahui iklan terbabit mempromosikan perjudian dalam talian selepas 70 peratus proses penggambaran selesai.

“Pada awalnya, pengarah itu bagitahu pada saya sendiri yang mana saya adalah pelakon utama dalam penggambaran muzik video itu, tetapi benda itu tidak jelas.

“Sebenarnya sebelum saya memasuki ke set penggambaran pada 13 Mac lalu itu dan ketika di lokasi itu, saya difahamkan saya hanyalah watak sampingan sahaja,” katanya seperti dilapor Mstar.

Saifullah berkata, ketika di lokasi penggambaran, babak-babak penggambaran saya sudah selesai dalam kira-kira 70 peratus, saya dah selesaikan babak babak saya dan kemudian apabila tiba di bahagian babak lirik, dia bagi lirik.

“Kita (termasuk pelakon lain) tidak hafal langsung, dia tulis dan lirik diletakkan di sebelah kamera dan pihak produksi meminta kami ‘lip sync’ atau gerak bibir, bukan kami yang menyanyi, itu bukan kami punya suara, ia adalah belakang tabir punya suara,” jelasnya.

“Saya sangat kecewa, sehinggakan saya tidak dapat tidur semalam… saya berfikir, benda ni sangat teruk, saya terima banyak kecaman,” katanya.

Saifullah berkata, dia berasa sangat bersalah kerana tidak betul-betul teliti dengan projek iklan tersebut.

“Sepatutnya saya mengkaji latar belakang syarikat produksi itu terlebih dahulu, apa jalan ceritanya dan maklumat rakaman itu, termasuk segala perincian tugas yang perlu diambil,” katanya.

Terdahulu, polis membuka kertas siasatan berhubung sebuah video iklan mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian dengan bertemakan sambutan Aidilfitri.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah berkata, siasatan ke atas video tersebut akan menjurus kepada penerbit dan pelakon-pelakon itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan semua pelakon yang telah mencetuskan kemarahan umat Islam itu telah ditahan di sekitar ibu negara. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/16/polis-tangkap-semua-pelakon-iklan-raya-judi-online/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here