Zahid mahu kerajaan putuskan segera kebenaran rentas negeri Aidilfitri

0
2
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KERAJAAN dingatkan supaya tidak membuat keputusan ‘flip flop’ berhubung keputusan kebenaran perjalanan rentas negeri bagi menyambut Aidilfitri.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata seelok-eloknya kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat ketetapan segera berhubung perkara itu.

Katanya, pemberitahuan awal mengenai rentas negeri itu adalah untuk memudahkan kakitangan awam dan swasta menyusun jadual dan memohon cuti untuk meraikan Aidilfitri.

“Cadangan KKM untuk menangguhkan perjalanan rentas negeri menjelang Aidilfitri ternyata menggusarkan orang ramai. Saya melihat perkara ini perlu dilaksanakan dengan jelas kerana bimbang boleh menimbulkan kemarahan orang awam.

“Bagi umat Islam yang sedang melaksanakan ibadah puasa ketika ini mereka mengharapkan perjalanan rentas negeri dibolehkan bagi meraikan Lebaran di kampung halaman.

“Apatah lagi sudah terlalu lama mereka tidak dibenarkan pulang untuk menjenguk orang tua di desa,” katanya menerusi Facebook.

Namun, Ahmad Zahid berkata, peningkatan kes harian Covid-19 di awal Ramadan ketika amat dikhuatiri.

“Bukan apa, ia akan dijadikan alasan perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan.

“Saya bimbang apabila kemarahan orang awam memuncak, kerajaan pada saat-saat akhir akan membenarkan perjalanan rentas negeri bagi merayakan Aidilfitri. Dan hasilnya selepas itu, kita akan menyaksikan kes Covid-19 akan mencanak tinggi,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau juga bimbang sekiranya laporan harian pandemik meningkat selepas Aidilfitri ia mungkin akan dijadikan alasan oleh kerajaan memanjangkan tempoh darurat yang sepatutnya berakhir 1 Ogos ini.

“Bagi memastikan perkara itu tidak berlaku, seelok-eloknya kerajaan menerusi KKM membuat ketetapan bermula sekarang. Boleh atau tidak perjalanan rentas negeri.

“Apa yang penting jangan flip flop atau menyusahkan orang ramai seperti pelaksanaan pembelajaran di rumah (PDPR). Komputer riba sudah dibeli tetapi sekolah dibuka semula selepas itu,” katanya.

Baru-baru ini, KKM mencadangkan rentas negeri untuk sambutan Aidilfitri bulan depan ditangguh.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, penangguhan perjalanan perlu dilakukan memandangkan kes harian masih meningkat.

“Sepertimana kita sedia maklum, kebanyakan negeri ketika ini masih di bawah PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) sehingga 28 April ini.

“Memandangkan kes harian masih meningkat dan belum stabil, maka pergerakan ini perlu ditangguhkan. Program vaksinasi (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) pun masih dijalankan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/15/kkm-cadang-rentas-negeri-sambut-aidilfitri-ditangguh/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here