Steven terharu Puan Ros sudah berdikari cari rezeki

0
2

SELEPAS hujan pasti pelangi indah muncul. Itulah yang dapat digambarkan kepada kehidupan seorang ibu beranak 10 yang hampir hilang punca dalam kehidupan.

Hari ini kehidupan wanita yang dikenali dengan nama Puan Ros itu semakin pulih dengan membuka perniagaan makanan hasil pertolongan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Minggu lalu kisah ibu malang ini tular di media sosial apabila dihalau dari kediaman kerana tidak mampu menjelaskan sewa.

Mujur Steven pantas membantunya dengan menempatkan ibu dan anaknya di rumah baru, selain melengkapkan segala barangan keperluan untuk mereka memulakan kehidupan baru.

“Hari ini saya nak sampaikan berita gembira. Kurang dari dua minggu lalu, bila saya berjumpa dengannya, Puan Ros murung, sedih, tiada rumah, tiada pekerjaan, tiada tempat nak pergi, buntu macam mana nak hidup dan jaga 10 anak.

“Hari ini Puan Ros sudah berniaga di pasar Ramadan dekat Maybank Alma. Anak-anak pun rajin turun tolong ibu. Dengar kata, sehari boleh untung beberapa ratus ringgit.

“Syukur. Bila saya melawat dia di gerai, dia bisik kepada saya, ucap terima kasih Steven kerana membantu saya,” catat bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menerusi Facebooknya, hari ini.

Keprihatinan wakil rakyat DAP ini wajar dipuji kerana beliau juga telah membantu Puan Ros membuka perniagaan makanan sebagai mata pencariannya.

Kata Steven, beliau gembira dan berpuas hati apabila melihat Puan Ros sudah boleh berdikari mencari rezeki sendiri.

“Saya amat terharu apabila melihat kak Ros telah memiliki sebuah gerai dan bermula perjalanan untuk mengubah nasib sekeluarga dengan bisnes sendiri.

“Anak-anak kak Ros yang menganggur juga turun membantu mengendali gerai tersebut. Suasana sekeluarga amat menyentuh hati,” ujarnya

Menariknya, Steven mengakui bantuan yang dihulurkan berkonsepkan ‘bagi kail lebih baik daripada beri ikan’ berjaya mengubah nasib Puan Ros dan keluarganya.

“Dari pengusiran, hilang rumah dan hanya tinggal RM40 dalam poket, kini kak Ros mampu menjana untung bersih RM847.90 sehari.

“Ketika buka puasa dengan kak Ros semalam, saya tanya dia berminat tak untuk menceburi perniagaan. Kak Ros binggung dan senyap sahaja. Apabila ditanya apa masalah sebenarnya yang dihadapi. Dia berasa berat untuk dapat modal permulaan bisnes.

“Saya bagi jaminan kepada kak Ros, tidak perlu risau mengenai modal. Saya akan membantu.

“Bila tanya kak Ros bisnes apa yang ingin diusahakan, dia nak ceburi perniagaan makanan yang merupakan kelebihan dia seperti mi kuah, pasembur, ayam goreng dan lai chee kang.

“Tanpa lengah, saya terus hubungi MPKK Alma Bukit Minyak untuk mendapat tapak perniagaan bagi kak Ros mula di Bazar Ramadan Alma yang bersejarah dan popular ini,” catatnya.

Steven juga berjanji akan mengikuti perkembangan kak Ros berniaga, selain membimbingnya dalam ilmu perniagaan.

“Demi memastikan kak Ros boleh berdikari serta mendapat pendapatan yang stabil kekal, saya akan terus membantu serta membimbingnya agar pastikan bisnes yang baru ini akan berjaya.

“Bulan Ramadan menjadi satu harapan dan sinar bagi kak Ros untuk keluar dari kepompong kemiskinan serta kehidupan yang bermaruah.

“Siapa-siapa kat Bukit Mertajam pi lah beli sikit juadah berbuka kat sana nanti. Yang non-Muslim pun boleh beli makan malam. Semua best-best belaka,” catat Steven. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/04/08/steven-buat-hal-lagi/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here