Iklan judi: SKMM jangan tidur, sekat segera video – Zahida Zarik

0
2

Nurul Huda Abhar

KETUA Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak lebih pantas dan serius menyekat penyebaran video iklan Raya yang mempromosikan judi atas talian.

Menurutnya, jelas sindiket-sindiket perosak masyarakat itu makin berani mencabar undang-undang negara dengan pelbagai kaedah memangsakan orang ramai.

“Susulan isu panas berkenaan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bertindak untuk memanggil semua yang terlibat termasuk para pelakon untuk disiasat dan diheret ke muka pengadilan. Syabas diucapkan atas respon pantas pihak PDRM.

“Namun begitu amat mengecewakan SKMM yang punya kuasa seolah-olah ‘masih tidur’ sehinggakan video berkenaan masih tersebar dan dapat ditonton di pelbagai platform media sosial,” katanya di hantaran Facebook, hari ini.

Zahida berkata, Puteri Umno menasihati semua pihak agar tidak memuat naik, ‘reupload’ atau menyebarkan lagi video berkenaan di media sosial.

Katanya, tindakan itu kemungkinan akan menyebabkan pihak yang memuat naik akan dipanggil polis untuk tujuan siasatan.

Sementara itu, Zahida berkata, beliau bimbang sekiranya pihak berkuasa lemah, pasti lebih banyak kandungan seumpama itu dihasilkan dan dimuat naik di laman sosial yang akhirnya akan merosakkan lebih ramai rakyat termasuk orang muda.

SKMM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan sudah berkomunikasi dengan pihak penyedia platform media seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk menurunkan kandungan iklan mengajak umat Islam berjudi bagi mendapatkan dana sempena menyambut Aidilfitri yang tular hari ini.

Menurut SKMM, permintaan menurunkan kandungan berkenaan mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti ditetapkan pihak platform media tersebut, yang berpangkalan di luar negara.

Dalam iklan berdurasi 2 minit 29 saat itu memaparkan seorang pemuda lelaki yang sedih tidak boleh pulang ke kampung kerana kekurangan wang, dan gembira mendapat wang yang banyak setelah berjudi di GDBET333. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/04/16/polis-akan-panggil-pelakon-terlibat-video-galak-umat-islam-berjudi/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here