AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sekali lagi merayu agar Parlimen dibuka semula bagi membolehkan ahli Dewan Rakyat bersidang berkenaan isu-isu rakyat.
Setiausaha Agung Umno itu berkata ia penting bagi memastikan ada semak dan imbang dalam kerajaan yang mengamal demokrasi berparlimen.
“Itulah peranan utama Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Jika tidak bersidang, bagaimana Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) boleh berfungsi dgn berkesan?
Dapat “elaun buta” bukan kehendak saya dan kami (wakil rakyat). Apa lagi alasan untuk gantung sidang? Tiada!,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin memberi jaminan bahawa tiada motif jahat di sebalik pengisytiharan darurat seperti beberapa kebimbangan dibangkitkan sejak kebelakangan ini.
Perdana Menteri berkata pengisytiharan tersebut dilakukan dengan tujuan utama membendung penularan pandemik Covid-19 serta mempercepatkan langkah perundangan berkaitan pengurusan wabak itu.
Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan darurat sehingga 1 Ogos depan atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak Covid-19.
Sementara itu dalam ciapan berasingan, Ahmad berkata beliau rindu untuk berbahas, mencadang dan bertanya di Dewan Rakyat.
“Menteri mesti jawab apa yang ditanya. Mereka mesti ulas apa yang dicadang. Dalam media sosial ini tiada menteri dan kementerian/agensi peduli apa yang disebut.
“Saya kira Adun-Adun pun rindu untuk masuk sidang DUN,” katanya. – Malaysiapost

