Penghantar makanan maut dihempap pokok

0
2

SEORANG penghantar makanan maut selepas dihempap pokok tumbang ketika hujan lebat di Alam Damai, Taman Len Seng, Cheras.

Lelaki berusia 20 tahun itu kemudiannya diangkat oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke sebuah stesen minyak.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur yang menerima maklumat mengenai kejadian itu mengerahkan sebuah jentera dari Balai Bomba Penyelamat Cheras ke lokasi kejadian pada jam 4.19 petang.

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 4.28 petang, pasukan bomba diketuai Zaimi Mat Yusuf Ahmad bersama lima anggota melaporkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

“Pada masa sama, pasukan bomba turut memotong dan mengalihkan pokok tumbang seterusnya memastikan kawasan sekitar dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, terdapat enam kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat dilaporkan di beberapa lokasi sekitar ibu negara sejak jam 4.15 petang tadi.

Menurutnya, kejadian itu dilaporkan berlaku di Seksyen 2, Wangsa Maju; Jalan Pantai Murni, Pantai Dalam; Kampung Padang Merbuk; Jalan Melati, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2)-Hulu Klang; kawasan berhampiran Wisma Tani, Jalan Bukit Tunku dan Jalan Tijani, Bukit Tunku.

“Sejak jam 4.30 petang tadi sehingga jam 6 petang, pihak bomba melakukan kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok-pokok yang tumbang seterusnya memastikan setiap kawasan dalam keadaan selamat,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, ada antara pokok tumbang yang menghalang lalu lintas sehingga menyebabkan kesesakan.

Katanya, antara Balai Bomba Penyelamat (BBP) yang terbabit dalam operasi menyelamat ini adalah BBP Cheras, BBP Wangsa Maju, BBP Pantai, BBP Seputeh, BBP Sentul, BBP Gombak Selatan, BBP Hang Tuah dan BBP Sri Hartamas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here