Lelaki sepak, pijak anak ditahan polis

0
2

SEORANG lelaki ditahan polis kerana disyaki mendera dua anaknya dalam kejadian di Ulu Balung, Tawau yang tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata suspek berusia 20 tahun itu ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Andung, Jalan Kabogan, Semporna jam 7 pagi tadi.

“Tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan BSJ IPD Semporna susulan laporan yang diterima pada jam 11.26 pagi semalam.

“Berdasarkan siasatan awal, motif kejadian berpunca daripada krisis rumah tangga antara suspek dan isterinya.

“Suspek kemudian mendera dua anaknya masing-masing berusia lima dan dua tahun, bertujuan mengugut isteri supaya pulang ke rumah mereka,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan suspek untuk merakam video berkenaan serta sebilah pisau berukuran 31 sentimeter.

Katanya, kedua kanak-kanak berkenaan diselamatkan sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Perintah reman akan dimohon bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Terdahulu, rakaman video itu tular sejak semalam selepas dikongsikan menerusi media sosial termasuk Facebook sehingga mengundang pelbagai reaksi orang ramai.

Dalam dua klip masing-masing berdurasi 26 saat dan 16 saat, suspek telah menyepak dua kanak-kanak berkenan selain memegang pisau dan mengugut mahu membunuh kedua-dua anaknya.- Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/14/tular-video-2-kanak-kanak-disepak-dipijak-bapa/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here