PAS cemas BN kalah PRU14 – Hadi

0
3

PAS mengakui cemas apabila Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Umno kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, ini kerana PAS dan Umno ibarat dua lutut yang jika dipukul bahagian kiri, bahagian kanan akan turut terasa.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, kerajaan ketika itu menyaksikan tiada parti yang berasaskan Islam walaupun ada Parti Amanah, namun dakwanya parti itu cuma mahukan kuasa.

“Parti bukan Islam kuasai PRU14. PAS jadi cemas walaupun BN dan Umno yang kalah. Kita ini macam kepala lutut, pukul lutut kiri, kanan akan terasa,” katanya ketika berucap pada Ceramah Muafakat Nasional (MN) di Slim River, semalam.

Abdul Hadi berkata, sehubungan itu perubahan perlu dilakukan iaitu berbalik kepada asasnya dengan usaha menggabungkan orang Islam bermula dengan PAS dan Umno di bawah MN.

Beliau berkata, setelah wujud MN, masih tidak cukup bilangan Ahli Parlimen untuk melakukan perubahan kerajaan.

“Kita terpaksa ambil, ajak Ahli Parlimen yang ada dalam kerajaan, maka berlaku perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu mereka yang sedar dan insaf, maka terbentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Abdul Hadi berharap pengundi akan membuat perubahan bersama MN dengan mengundi calon BN, Mohd. Zaidi Aziz.

“Keputusan Slim akan memberi makna besar sebagai penentu pada PRU-15 dan juga Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya. – Malaysia Post