Kim Jong-un koma?

0
3

[Dunia] SPEKULASI mengenai keadaan kesihatan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un kembali bertiup kencang apabila dikatakan berada dalam keadaan koma.

Bekas pembantu Presiden Korea Selatan, Kim Dae-jung, Chang Song-min, mendakwa ia susulan langkah dibuat pemimpin diktaktor itu yang menyerahkan sebahagian kuasa pemerintahan kepada adik perempuannya, Kim Yo-jong beberapa hari lalu.

“Saya merasakan dia (Jong-un) berada dalam keadaan koma, tetapi masih hidup,” katanya kepada media Korea Selatan seperti dilapor portal MarketWatch.

Song-min turut mendakwa, adik perempuan Jong-un itu bersedia membantu memimpin negara berkenaan.

“Struktur penggantian yang lengkap belum terbentuk, jadi Kim Yo-jong dibawa ke depan kerana kekosongan tidak dapat dipertahankan untuk jangka waktu yang lama,” katanya.

Dakwaan Song-min muncul selepas perisik Korea Selatan mendedahkan Yo-jong yang berusia 33 tahun kini berfungsi sebagai pemimpin ‘de facto kedua’, walaupun belum dilantik secara rasmi sebagai pengganti.

Keadaan kesihatan Jong-un mula diperkatakan sejak April lalu susulan dia tidak kelihatan pada sambutan ulang tahun kelahiran datuknya, Kim Il Sung, iaitu hari paling penting dalam kalendar politik Korea Utara.
Jong-un dilaporkan kali terakhir muncul di hadapan khalayak adalah pada 1 April ketika menghadiri mesyuarat kerajaan.

Susulan itu, timbul spekulasi mengatakan Jong-un sedang tenat selepas menjalani pembedahan jantung, malah ada media melaporkan pemimpin itu sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun, awal Mei lalu, agensi berita Korea Utara melaporkan Jong-un akhirnya membuat kemunculan pertama di hadapan khalayak selepas 20 hari khabar angin kematiannya bertiup kencang. – Malaysia Post