BAGI memastikan SOP Bazar Ramadan sentiasa dipatuhi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menurunkan kuasa mengkompaun kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengeluarkan saman kompaun kepada pesalah.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kuasa kompaun yang diberi kepada PBT itu berkuat kuasa hari ini.
“KKM telah menurunkan kuasa mengkompaun kepada Datuk Bandar, Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan dan Pegawai Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan Gred 19 ke atas untuk mengkompaun apa-apa kesalahan di bawah Akta 342.
“Ini termasuk sebarang ketidakpatuhan SOP di bazar-bazar Ramadan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ismail Sabri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menerima beberapa aduan orang ramai mengenai ketidakpatuhan SOP di bazar Ramadan di beberapa lokasi di Malaysia.
Katanya, perkara ini dipandang serius kerana penularan wabak Covid-19 masih berada di tahap membimbangkan.
“Sehubungan itu, Pihak Berkuasa Tempatan digesa untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan pelaksanaan SOP yang dikeluarkan oleh MKN dan KKM dipatuhi sepenuhnya.
“Orang ramai juga diminta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan dalam membantu negara melandaikan lengkuk penularan wabak Covid-19,” katanya.- Malaysiapost

