Nilam Oshman
SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun cedera digigit anjing liar yang berkeliaran di kawasan pangsapuri kediamannya di Seksyen 2, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang semalam, ketika mangsa, Syauqina Rifqa Sarnizan, keluar melihat sangkar arnab peliharaannya di luar rumah kerana bimbang ia diganggu anjing liar.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa baru saja pulang dari sekolah agama, sebelum menyedari kehadiran anjing liar di kawasan sangkar arnab peliharaannya itu.

Ibu mangsa, Norhafizah Abdul Ghaffar, 41, berkata Syauqina ada memaklumkan mengenai anjing liar yang berkeliaran berhampiran sangkar rumah arnabnya dan ingin keluar untuk melihatnya.

“Saya suruh dia tunggu sebab saya nak temankan, tetapi dia cakap sekejap saja dan terus keluar.
“Tiba-tiba saya terdengar suara anak sulung saya itu menjerit meminta tolong. Saya terus keluar dan melihat dia sedang meniarap sambil dua ekor anjing berada berhampirannya,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Norhafizah berkata, dia bergegas keluar dan cuba menghalau anjing terbabit, tetapi haiwan itu cuba untuk menyerangnya.
Katanya, mujurlah suaminya ada di rumah, sebelum segera membawa tukul besi untuk menghalau kedua-dua anjing liar itu.
“Saya terus angkat dan bawa anak saya masuk ke rumah dan mendapati ada kesan koyakan pada kepala, selain beberapa kecederaan pada kaki kanan dan belakang badan.
“Jiran kemudian membantu membawa anak saya ke hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan dan anak saya menerima jahitan di kepala,” katanya.
Dalam pada itu, Norhafizah yang juga ibu kepada empat anak mengakui kecewa dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang masih belum mengambil tindakan mengenai isu anjing liar berkeliaran itu, walaupun aduan sudah dibuat.
Katanya, kejadian membabitkan anjing liar semalam adalah yang kedua berlaku di sangkar arnabnya itu, dalam minggu ini.
“Sebelum ini, arnab saya mati diserang anjing liar dan mati. Ramai anjing liar di sini dan kita sudah buat aduan, tetapi menyedihkan tindakan balas mereka lambat,” katanya. – Malaysiapost

