Geng Nicky: Lebih ramai pegawai, anggota polis akan ditahan – Ayob Khan

0
3

SENARAI nama pegawai dan anggota polis yang bersubahat dengan ‘Geng Nicky’ tidak akan didedahkan kepada umum, sebaliknya tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka yang terbabit.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata senarai nama 34 pegawai dan anggota polis yang dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara baru-baru ini tidak akan didedahkan.

“Saya tidak akan mendedahkan senarai nama tersebut..itu yang pertama dan yang kedua, 34 nama itu kita akan ambil tindakan di bawah jenayah terancang.

“Di Johor ini, kita telah buktikan dengan menangkap pegawai dan anggota agensi penguatkuasa dibawah Op Benteng dulu yang kita sudah tuduh mengikut jenayah terancang seramai 24 orang iaitu 14 pegawai dan anggota polis, lima anggota tentera dan empat atau lima pegawai Imigresen,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Menurutnya, tindakan sama juga akan digunakan membabitkan Geng Nicky dimana tindakan tatatertib adalah langkah terakhir sekali dan keutamaan adalah pendakwaan di mahkamah.

“Kami sedang mengemaskini kertas siasatan dan apabila lengkap nanti kita akan tangkap.

“Saya tidak akan serah pada JIPS (Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard) untuk ambil tindakan, saya hendak ambil tindakan bawah jenayah terancang, bagi saya itu yang paling tepat, mudah, paling tegas untuk kita ambil tindakan.

“Tetapi, saya kena pastikan cukup bukti dan bagi masa sedikit, itulah soalan yang sentiasa ditanya di sini (Johor) dan Bukit Aman, bila senarai itu hendak dikeluarkan,” katanya.

Ayob Khan, pihaknya tidak akan mendedahkan nama namun yang pasti apabila siasatan lengkap pegawai dan anggota agensi penguatkuasa yang terbabit dengan kumpulan itu akan ditangkap.

“Senarai saya tak akan keluarkan, saya akan tangkap mereka nanti. Tak guna saya nak kongsi (senarai), yang pasti bila lengkap (siasatan) nanti tangkapan akan dibuat, tunggu dan lihat.

“Kita tidak akan panggil mereka (pegawai dan anggota polis terbabit), ini bukan siasatan tatatertib, saya akan tangkap mereka,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat tangkapan terbaru berhubung kes Geng Nicky itu, beliau memaklumkan tiada tangkapan baru, namun terdapat perkembangan baru berhubung jumlah pegawai dan anggota yang bersekongkol dengan kumpulan itu.

“Tunggulah..sebab itu saya cakap benda ini berkembang bukan statik. Daripada soal siasat yang kita buat akan berkembang.

“Daripada laporan forensik yang dibuat terhadap barang rampasan ia akan berkembang lagi. Tunggu dan lihat, yang pasti akan ada lebih lagi bukan 34 sahaja,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here