Polis Johor tekad bersihkan pasukan secara dalaman – Ayob Khan

0
4

POLIS Johor mengambil pendekatan tegas dalam membersihkan pasukan itu daripada pegawai serta anggota yang bermasalah sama ada dari segi jenayah dan tatatertib.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya memberi keutamaan untuk membuka kertas siasatan mengikut mana-mana peruntukan undang-undang sama ada jenayah dan sebagainya terhadap pegawai atau anggota polis yang melakukan kesalahan.

Menurutnya, tindakan tangkapan akan dilakukan atau siasatan tatatertib dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor terhadap pegawai dan anggota polis yang bermasalah.

“Untuk makluman daripada Januari lalu hingga sekarang, 30 kertas siasatan sudah dibuka iaitu tiga kes rasuah, 10 kes dadah, 14 kes jenayah dan tiga kes komersial yang membabitkan pegawai dan anggota polis Johor.

“Tahun lalu sebanyak 83 kertas siasatan dibuka membabitkan empat kes rasuah (13 anggota), kes dadah 48 kertas siasatan (48 anggota), jenayah 21 kertas siasatan (28 anggota), komersial empat kertas siasatan (empat anggota),” katanya dalam sidang media di IPK Johor hari ini.

Menurutnya, berdasarkan statistik itu jika dibandingkan dengan kontinjen lain jumlah yang dikenakan tindakan menunjukkan Johor adalah yang tertinggi.

“Setakat tahun ini seramai 59 orang dikenakan tindakan tahan kerja membabitkan empat pegawai dan 55 anggota polis berbanding tahun lalu hanya 31 orang anggota ditahan kerja.

“Gantung kerja pula setakat ini 11 orang dikenakan tindakan itu berbanding 15 orang tahun lalu,” katanya.

Ayob Khan berkata, tindakan buang kerja pula setakat ini lapan orang dan minggu depan lagi 12 akan di dibuang kerja menjadikan keseluruhan 20 orang dibuang kerja tahun ini

“Tahun lalu 46 orang sudah dibuang kerja membabitkan 45 anggota dan seorang pegawai awam. Mungkin hujung tahun ini statistik pegawai atau anggota dikenakan tindakan akan pecah rekod tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, keutamaan pihaknya adalah untuk membuka kertas siasatan mengikut kes jenayah dan jika membabitkan kes rasuah yang besar akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Akhir sekali barulah kita serahkan kepada pihak JIPS bahagian tatatertib untuk mengambil tindakan sebab saya lebih beri keutamaan kepada tindakan tangkap, buka kertas siasatan dan tuduh.

“Kalau ada cukup bukti dituduh di mahkamah dan sabit kesalahan maka kita boleh buang kerja terus tanpa perlu melalui proses yang panjang ikut tindakan tatatertib,” katanya.

Beliau berkata, bukanlah menjadi satu kebanggaan apabila mengatakan tindakan buang kerja di Johor paling tinggi namun ia menunjukkan ketegasan dan tindakan tidak berkompromi.

“Bagi saya tindakan ini penting kerana secara tidak langsung menunjukkan Polis Johor boleh mengambil tindakan secara dalaman tanpa membabitkan agensi luar.

“Kita boleh membetulkan keadaan PDRM dari dalam serta perlu mengambil tindakan tegas dan kita sudah buktikan serta akan melakukannya secara berterusan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here