KES dadah membabitkan pegawai dan anggota polis kini menjadi masalah serius dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan membabitkan semua kontinjen seluruh negara.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata isu penyalahgunaan dadah dalam pasukan PDRM adalah serius termasuk membabitkan Polis Johor.
Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil dan pegawai atau anggota yang melakukan kesalahan itu tidak perlu diberi peluang kedua kerana ia akan merosakkan PDRM kelak.
“Dadah memang isu yang serius sebab itu mereka ini tidak perlu diberi peluang kedua kerana banyak sangat kes dadah yang membabitkan pegawai dan anggota polis.
“Kalau ditangkap dan positif kita akan buang. Kita akan guna kaedah paling cepat, banyak lagi orang yang nak masuk polis nak minta kerja, yang ada yang tak guna ni kita buang cepat jangan ditinggalkan dalam pasukan yang boleh menjadi barah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Beliau sebelum itu memaklumkan mengenai jumlah pegawai dan anggota polis IPK Johor yang dikenakan tindakan akibat pelbagai kesalahan jenayah.
Menurutnya, tahun lalu seramai 48 kertas siasatan dibuka membabitkan kes dadah di kalangan warga polis di Johor dan bagi tahun ini 10 kertas siasatan dibuka bagi kes sama.
“Sebab itu beberapa bulan lepas saya ada membuat perjumpaan dengan Pengarah Kesihatan negeri Johor untuk memudahkan lagi laporan (urin anggota polis) daripada doktor.
“Ini untuk kita buang terus (pegawai/anggota) yang didapati positif dadah kerana sebelum ini ada sedikit kelewatan,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Facebook Polis Johor Official

