PAS mahu Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sarawak dikenakan tindakan kerana menampal pelekat bahasa cina tanpa kebenaran dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, pihaknya menyokong kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk mengambil tindakan kepada pihak yang melakukan provokasi perkauman dalam negara.
Menurutnya, tindakan DAPSY Sarawak yang menampal pelekat dalam bahasa Cina di beberapa papan tanda jalan sekitar bandar raya Kuching baru-baru ini termasuk cubaan mengeksploitasi bahasa kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Kegiatan vandalisme ini juga melanggar peraturan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kerana ia tidak mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan.
“Tindakan pantas daripada pihak DBKU harus diberikan pujian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rakyat dinasihatkan supaya tidak menjadikan eksploitasi bahasa sebagai satu gurauan untuk berpolitik kerana ia mampu mencetuskan ketegangan kaum.
“PAS berharap agar tindakan yang bakal dikenakan menjadi iktibar kepada pihak lain supaya tidak bertindak sesuka hati mempermainkan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.
Baru-baru ini, Malaysia Post melaporkan tindakan menampal perkataan tulisan cina di tiga papan tanda jalan di Kuching itu mengundang kecaman warga net.
Menerusi Facebook DAP Sarawak, beberapa pemimpin parti ‘Roket’ itu menampal nama jalan dalam tulisan Cina di di Jalan Main Bazaar, Jalan Green Hill dan Lebuh Wayang.
Gambar yang dimuatnaik pada tengah hari itu dipenuhi dengan emoji marah dan keseluruhan komen tidak bersetuju dengan tindakan parti berkenaan.

