Mew Choo naik angin sikap anaknya

0
2

BEKAS ratu badminton negara, Datin Wong Mew Choo naik angin terhadap anaknya Kingston Lee yang tidak faham amalan hormat menghormati kepercayaan agama penganut lain.

Kisah itu diceritakan suaminya, Datuk Lee Chong Wei di Facebook miliknya hari ini.

Menurut lagenda badminton negara itu, Kingston telah menanyakan beberapa persoalan berkaitan situasi janggal di sekolah hari ini.

“Papa, I ada soalan nak tanya. Tadi masa waktu rehat, saya berkongsi makanan dan minuman dengan rakan sekelas. Ada dua orang kawan baik saya, Syihan dan Amli tak nak makan. Kenapa?

“Pastu I pun dinasihat cikgu supaya makan di sudut jauh dari segelintir kawan-kawan I. Apa salah saya, papa?,” tanya anak Chong Wei kepada bapanya.

Meskipun Chong Wei mengakui dia terlupa untuk memberitahu kepada Kingston bagaimana adab dan cara menghormati rakan yang beragama Islam berpuasa, dia cuba untuk menerangkan kepada anaknya bahawa tiada kesalahan yang telah dilakukannya.

“Koko @kingstonleekc, you tak salah. Kawan-kawan you tu sebenarnya dah start puasa. Dan Cikgu suruh makan di tepi sebagai tanda penghormatan kepada kawan-kawan yang tengah berpuasa tu.

Jadi, kamu kena nasihat kawan-kawan Cina, India lain, mesti sokong kawan-kawan Melayu ni menjalankan ibadah puasa. Kena bertolak-ansur dan hormat sesama lain,” ujar Chong Wei.

Bagaimanapun, Kingston, 8, menunjukkan sikap tidak berpuas hati dan terus mempersoalkan nasihat bapanya itu.

“Kenapa kena bertolak ansur? Saya makan saya punya hal, dia puasa dia punya hal,” kata Kingston.

Menurut Chong Wei, tindakan anaknya itu telah membangkitkan kemarahan ibunya dengan satu tamparan hinggap di tangan Kingston atau panggilan manjanya Koko.

“Belum sempat saya marah, tangan penampar Mew Choo terus melanda ke atas tangan anak. Tahulah saya dia pandai smash gak, tapi memang laju tangan dia kali ni,” catat Chong Wei.

Tindakan Mew Choo telah menyebabkan anak mereka menangis dan mempersoalkan kenapa dia dimarahi sebegitu.

“Kalau kita tak bertolak ansur, Koko tidak akan ada kawan Amli dan Syihan lagi. Bayangkan kalau tak bertolak ansur, Koko main mercun semasa New Year mestinya dimaki.

“Jika tidak hormat, kawan India buat perarakan Thaipusam semestinya dihalang. Andainya tidak menghormati sesama lain, tak mungkin shopping mall KL ada Christmas tree masa Christmas.

“Kita menang bola dan Thomas Cup pun sebab kita bertolak ansur dan bersatu padu,” kata Chong Wei menasihati Koko.

Akhirnya Koko akur dan dapat menerima nasihat bapanya dan berjanji akan sentiasa hormat menghormati kawan-kawan beragama Islam.

“Dengan muka menyesal, pendek sahaja jawapan anak saya “Saya mahu berkawan baik dengan Amli dan Syihan”.

“Itulah cerita hari ni. Saya Chong Wei dan Mew Choo sekeluarga ingin memohon maaf dan mengucapkan Selamat Berbulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam. Have a blessed puasa month,” catatnya. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here