Pembangunan semula ‘Flat Colombia’ demi keselamatan, keselesaan – Zuraida

0
2

USAHA membincangkan hala tuju pembangunan semula Flat Taman Keramat di Hulu Kelang atau turut dikenali sebagai Flat Colombia akan diteruskan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata pembangunan semula flat itu perlu dibuat demi keselamatan penduduk yang selama ini berdepan pelbagai masalah akibat perumahan telah lama dan usang.

“Insya-Allah usaha ini mampu menaikkan taraf hidup dan keselesaan penduduk kelak.

“Kementerian komited dalam menyediakan kediaman selesa kepada setiap lapisan masyarakat terutama golongan B40 selaras Dasar Perumahan Mampu Milik Negara yang telah digubal.

“Antaranya di masa hadapan, setiap rumah akan dibina perlu lebih 900 kaki persegi dan dilengkapi dengan kemudahan lain,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan bersama wakil penduduk Flat Keramat, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), wakil Perumahan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi membincangkan hala tuju pembangunan perumahan tersebut.

Tahun lalu, Zuraida dilaporkan berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengkaji untuk membangunkan semula flat-flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang sudah usang dan berusia lebih tiga dekad di Selangor.

Katanya, beberapa rumah PPR lama yang sudah berusia 30 hingga 40 tahun telah dikenalpasti untuk dibangunkan semula memandangkan ia tidak lagi sesuai dengan perkembangan kehidupan di kawasan bandar.

Beberapa rumah PPR yang usang dan buruk di Selangor dikenalpasti apabila beliau sendiri turun meninjau PPR Colombia di Keramat dan Pandan yang usianya lebih 30 hingga 40 tahun dan tidak sesuai dengan perkembangan perbandaran sedia ada.

Pada 2018, kerajaan Selangor memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) cadangan membangunkan semula Flat PKNS Taman Keramat yang dihuni sejak 1974 dan mempunyai sejumlah 688 unit kediaman, telah diusahakan PKNS sejak 2008 dengan pelbagai inisiatif dan strategi.

Namun, pelaksanaan projek itu kerap menemui jalan buntu terutama apabila menyentuh isu pakej pampasan setimpal kepada pemilik sedia ada.

Selain itu, persetujuan penuh dari pemilik sedia ada juga perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum sebarang pembangunan semula dapat dilaksanakan dan ia juga antara cabaran utama dalam pelaksanaan projek. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here