Atlet negara kekal sihat, cergas selepas divaksin – Reezal

0
2

ATLET negara yang bakal membawa cabaran ke temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, rata-rata teruja dan bersemangat selepas menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata beliau sempat bertanya khabar mereka di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras.

“Semuanya teruja untuk menjalani proses vaksinasi ini. Masing-masing tidak sabar untuk meneruskan latihan dan memberikan persembahan terbaik untuk negara.

“Insya-Allah kami akan menerima dos kedua pada awal Mei 2021 nanti,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Seramai 264 barisan atlet negara ke sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 serta Reezal sendiri mendapatkan imunisasi vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech pagi tadi.

Ini termasuk barisan pegawai, jurulatih serta pihak pengurusan yang akan turut menyertai kontinjen negara kelak.

“Saya bersyukur juga, sehingga kini tiada kesan sampingan atau adverse effects daripada pengambilan vaksin ini. Begitu juga dengan para atlet negara yang kekal sihat dan cergas,” kata Reezal lagi

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang memastikan program imunisasi berjalan lancar.

Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis mengetuai senarai atlet dan pegawai menerima dos pertama suntikan vaksin tersebut hari ini.

Beliau diikuti rakan sepasukannya Anis Amira Rosidi sebagai atlet wanita pertama, manakala atlet memanah S Suresh menjadi atlet para pertama menerima suntikan itu.

Temasya Sukan Olimpik akan berlangsung bermula 23 Julai hingga 8 Ogos, manakala Paralimpik dijadualkan bermula 24 Ogos hingga 5 September depan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here