PASUKAN pembelaan Datuk Seri Najib Razak hari ini mengemukakan hujah dengan mendakwa Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali seperti ada ‘keinginan’ untuk mensabitkan bekas perdana menteri itu dalam semua pertuduhan dikenakan terhadapnya.
Peguam bela, Farman Read dalam hujahnya berkata penghakiman yang dibuat pada akhir kes pembelaan oleh Mohd Nazlan menampakkan ‘keinginan’ tersebut, lapor Malaysia Gazette.
“Hakim seperti bermotivasi bahawa tertuduh bertanggungjawab. Hakim seperti mempunyai keinginan untuk mensabitkan Najib.
“Beliau (hakim) mempunyai motivasi untuk menyabitkan perayu, sebenarnya undang-undang jenayah tidak boleh digunakan untuk sabitkan beliau kerana hakikatnya beliau sudah disabit dengan kekalahan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14,” hujahnya.
Beliau berkata demikian ketika prosiding rayuan penyewelengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) melibatkan Najib yang sudah masuk hari keenam hari ini.
Pada 28 Julai tahun lalu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan melibatkan wang milik SRC.
Rayuan didengar panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Pasukan pembelaan dijangka menggulung hujah mereka hari ini sebelum pihak pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dalam prosiding ini membuat hujahan balas selama empat hari akan datang.
Prosiding sedang bersambung dengan Farman masih lagi berhujah di hadapan tiga panel hakim ketika ini. – Malaysiapost

