Bekas pemain PSG bantu Bayern Munich rangkul UCL

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

JARINGAN tunggal bekas pemain akademi Paris Saint-Germain (PSG), Kingsley Coman memastikan Bayern Munich merangkul trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan menundukkan wakil Perancis itu, awal pagi tadi.

Dalam aksi yang berlangsung di Estadio da Luz, Portugal itu, ternyta skuad kendalian Hansi Flick layak memenangi perlawanan berkenaan apabila mendominasi keseluruhan permainan.

Bagaimanapun PSG turut memperoleh beberapa peluang bagi mengancam kubu Bayern Munich dan terlebih dahulu memiliki peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan.

Berpunca daripada umpanan menarik dilakukan Kylian Mbappe ke dalam kawasan penalti Bayern Munich, Neymar yang hanya berhadapan dengan Manuel Neuer gagal untuk menewaskan penjaga gol berpengalaman itu pada minit ke-18.

Aksi kemudiannya bertambah menarik apabila wakil Jerman itu hampir membuka tirai jaringan berselang empat minit kemudian menerusi peledak berbisa, Robert Lewandowski.

Lewandowski yang menerima hantaran Alphonso Davies, melakukan rembatan tetapi percubaan itu terkena tiang gol walaupun Keylor Navas sudah pun tertewas.

Jaringan yang dinantikan kelab Bundesliga itu hanya hadir pada minit ke-59 apabila Kingsley Coman muncul wira mereka setelah berjaya menanduk masuk bola dengan mudah hasil umpanan cantik daripada Joshua Kimmich.

Tersentak jaringan itu, PSG mengadakan asakan, namun masih tidak mampu untuk menghadirkan jaringan sekaligus memberikan kejuaraan ‘treble’ buat Bayern Munich yang sebelum ini sudah menjuarai saingan Bundesliga dan DFB Pokal.

Kemenangan itu juga menyaksikan Bayern Munich meraih kejuaraan UCL keenam dalam sejarah selepas kali terakhir memenanginya pada musim 2012/13 setelah berjaya menundukkan Borussia Dortmund 2-1.