PM patut gugur menteri, timbalan yang tidak fit – Puad

0
3
puad zarkashi

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya menggantikan mana-mana menteri atau timbalan menterinya yang tidak sesuai bertugas dalam kerajaan.

Kenyataan beliau dipercayai berhubung kait dengan insiden seorang timbalan menteri yang tertidur dalam satu majlis graduasi sebuah sekolah sehingga perlu dikejutkan oleh tiga individu lain.

Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu membuat pengajaran apa yang berlaku semalam adalah kerana memilih anggota Kabinet yang tidak kompeten.

“Sepatutnya PM (Perdana Menteri) gugurkan segera Menteri atau Timbalan Menteri yang tidak fit. Kerajaan PN mesti buktikan anggota kabinet hari ini adalah competent dan sihat.

“Kalau Kerajaan PH dikecam sebagai kerajaan mungkir janji, Kerajaan PN akan dicop sebagai kerajaan ‘kabinet half past six’,” katanya dalam hantaran Facebook, semalam.

Semalam, tular video Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Eddin Syazlee Shith tertidur dalam majlis khatam al-Quran dan Graduasi Huffaz di Seremban, Negeri Sembilan.

Video berdurasi lebih seminit itu memaparkan Eddin Syazlee yang menyarung jubah konvoksyen hanya tersedar setelah dikejutkan oleh tiga individu.

Eddin Syazlee ketika dihubungi Malaysiapost semalam memberitahu bahawa keadaan kesihatannya tidak sihat ketika program itu berlangsung.

Sementara itu, Mohd Puad berkata, gambaran menteri melanggar prosedur operasi standard (SOP) seperti sudah menjadi kebiasaan hari ini, namun tidak pada orang awam.

“Menteri buat perkara tidak senonoh juga biasa. Menteri main golf berjam-jam di hari bekerja juga perkara biasa.

“Malangnya rakyat tidak boleh berbuat apa apa kerana Malaysia negara darurat. Parlimen pula tidak bersidang,” kata beliau. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here