SEORANG daripada 38 pesilat negara dan pegawai dalam siri lawatan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) ke Asia Tengah baru-baru ini disahkan positif Covid-19.
Semua pesilat berkenaan membuat lawatan bagi mempersiapkan diri dan menguji peraturan baharu yang bakal digunakan pada Sukan Sea Hanoi 2021 iaitu pertandingan ala-ala seni bela diri campuran (MMA).
Atlet yang identitinya tidak didedahkan itu kini berada di Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) Maeps Serdang sejak Jumaat lalu selepas tiba di tanah air pada 4 April dari Kyrgyzstan, lapor Berita Harian.
Susulan itu, Presiden Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, tempoh proses kuarantin wajib 37 baki pesilat lain terpaksa dilanjutkan sehingga menerima keputusan ujian saringan Covid-19 (PCR) yang akan diketahui selewat-lewatnya pada hari ini.
“Kesemua 38 atlet negatif ujian PCR sebelum berlepas pulang ke Malaysia. Ada kemungkinan dia (pesilat) dijangkiti dalam perjalanan pulang daripada Kyrgyzstan, mungkin kena di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (ketika transit) atau di Kyrgyzstan.
“Tapi saya rasa agak terkilan kerana dia (pesilat) tidak menunjukkan sebarang simpton, dalam keadaan baik, tidak demam dan ada selera makan,” katanya pada sidang media Persidangan Tahunan Pesaka semalam.
Seramai 38 pesilat dan pegawai menguji peraturan baharu itu yang cenderung kepada konsep MMA, menerusi latihan dan pertandingan selama 14 hari di Uzbekistan, Kazakhstan dan Kyrgyzstan.
Perubahan itu secara umumnya mengizinkan pertandingan dijalankan secara berterusan selama hampir 2 hingga 3 minit, berbanding peraturan lama yang boleh dihentikan apabila berlaku pelanggaran berat antara pesilat. – Malaysiapost

