Rundingan kerusi ditangguh, Umno akan dapatkan penjelasan PAS

0
2

TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak tahu jika rundingan kerusi antara parti berkenaan dengan PAS telah ditangguhkan ketika ini.

Beliau berkata, setakat ini rundingan masih berlangsung melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN), yang diadakan setiap dua minggu sekali, lapor Bernama.

“Saya cuma baca dalam media juga, tetapi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN baru-baru ini, kita nyatakan rundingan kerusi Umno dan PAS (masih) diteruskan.

“Bahkan kita setuju kerusi yang dimenangi akan ditandingi oleh parti masing-masing, dan formula kedua kita setuju parti mana yang dapat undi terbanyak, kerusi berkenaan akan diberi kepadanya,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Program Bangkit 15 di Melaka hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya telah menghantar wakil untuk berunding dengan Bersatu mengenai pembahagian kerusi, dan perbincangan dengan Umno ditangguhkan seketika kerana parti itu kini berdepan kemelut dalaman.

Mohamad berkata, Umno akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada PAS berhubung perkara berkenaan, ketika Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN yang akan datang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here