“Tolong jaga budak ini“

0
2

SEORANG bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di hadapan pintu pejabat Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang di Jelutong, Georgetown semalam.

Bayi yang dibalut dengan tuala berwarna hijau muda itu dijumpai seorang lelaki berusia 43 tahun kira-kira jam 7.40 malam.

Turut ditemui berdekatan bayi berkenaan adalah sekeping kertas yang tertera nota berbunyi, ‘Tolong jaga budak ini’.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata siasatan lanjut mendapati pengadu menemui bayi tersebut sebaik mahu membuka pintu premis dari dalam.

Menurutnya, lelaki tersebut kemudian membawa masuk bayi itu ke dalam premis dan memakaikan lampin pakai buang, pakaian serta diberi susu formula oleh seorang wanita.

“Pengadu memaklumkan yang dia ke situ untuk bertemu rakan-rakan lamanya. Dia tidak menyangka menemui bayi yang berada dalam keadaan baik dan tidak menangis itu.

“Pihak polis yang hadir ke lokasi kejadian bagaimanapun telah menyerahkan bayi tersebut kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut serta pemantauan rapi,” katanya seperti dilaporkan Kosmo Online.

Beliau berkata, penimbulan cap jari pada nota yang ditinggalkan bersama bayi telah dibuat termasuk meneliti rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian.

Justeru katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 019-473 5105 atau melaporkan di balai polis berhampiran. – Malaysiapost

.
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/04/07/mayat-bayi-ditemui-dalam-kotak/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here