Rentas negeri, berkumpul punca Besut zon merah

0
2

BESUT dikategorikan zon merah bagi kes jangkitan Covid-19 berpunca dari aktiviti berkumpul dan rentas negeri, kata Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau bagaimanapun, menzahirkan dukacita apabila negeri itu merekodkan 44 kes positif baru Covid-19 hari ini.

“Berikutan itu, kes dari Kluster Belaoh sehingga kini seramai 49 orang, sekali gus meletakkan daerah Besut diletakkan dalam zon merah.

“Bayangkan jika kita tidak laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tersebut.

“Kemungkinan akan berlaku kluster yang besar di daerah ini akibat pergerakan bebas orang ramai (aktiviti berkumpul atau ‘mengeteh’),” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Selain itu, menurut Dr Nor Azimi, pergerakan rentas negeri juga antara faktor peningkatan kes positif Covid-19 di daerah itu.

“Rentas negeri dari Besut ke Kelantan pun sangat rutin disebabkan pergerakan penduduk yang keluar masuk kerana urusan kerja.

“Kluster Tanjung yang baru didaftarkan juga akibat daripada aktiviti rentas negeri,” ujarnya.

Justeru, beliau meminta rakyat mematuhi SOP bagi membantu meringankan beban petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi pandemik ini.

“Ramadan bakal tiba tidak lama lagi. Rakyat gembira nak sambut Ramadan, nak berbuka bersama keluarga, sedangkan petugas kesihatan akan berbuka di lapangan bersama kawan-kawan.

“Tolong raikan pengorbanan mereka dengan cara mematuhi SOP. Hanya usaha kita bersama kekalkan kepatuhan SOP dan kawalan pergerakan yang akan membantu kita mencapai kemenangan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here