Gagal patuhi penjarakan fizikal, penganjur perlumbaan drag dikompaun RM20,000

0
2

PENGANJUR sukan permotoran dikompaun RM20,000 kerana didapati gagal memastikan penjarakan fizikal ketika menganjurkan perlumbaan drag di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman yang mengesahkan perkara itu hari ini berkata penganjur telah mendapatkan permit bagi melaksanakan acara itu namun gagal memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

“Kami kompaun penganjur kerana gagal mengawal peserta, melaksanakan penjarakan fizikal dalam pematuhan SOP,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata demikian susulan tular satu video memaparkan sebuah kenderaan polis hadir ke litar berkenaan bagi menyuraikan peserta yang hadir ke acara itu.

Mengulas video tersebut, Imran berkata polis diminta hadir menyuraikan peserta yang enggan bersurai meskipun acara telah selesai.

“Selepas polis sampai orang ramai memberi kerjasama dan bersurai serta tiada perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Penganjur program berkenaan, MUSC Motorsports menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook turut mengesahkan mereka dikompaun kerana gagal melaksanakan acara tersebut dalam ketetapan norma baharu.

“Kegagalan kami mengawal penjarakan sosial mengakibatkan beberapa kali acara ini terhenti sehingga akhirnya kami terpaksa akur dikenakan kompaun.

“Justeru, kami memohon maaf kepada semua pihak terlibat tanpa menyalahkan mana-mana pihak sama ada agensi penguat kuasa, penyedia litar iaitu SIC, rakan-rakan program, pasukan drag, pengunjung dan semua pengikut Musc Drag Racing,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here