“SEBENARNYA lebih penting dan tersirat ialah hak peribadi kita telah diceroboh,” kata Naib Presiden PKR, Tian Chua.
Beliau mengulas berhubung isu tular audio perbualan mirip suara Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tian Chua berkata, orang ramai mungkin memberi tumpuan dan mempersoal ketulenan rakaman suara perbualan tersebut, sebaliknya terlupa terhadap hak peribadi masing-masing mudah untuk diceroboh.
“Jika audio itu benar dan sah ketulenannya, saya nak beritahu sebenarnya hak peribadi kita telah dicerobohi.
“Ini yang ramai terlepas pandang. Bagaimana hak kita berbual di telefon boleh diceroboh, kita telah hilang hak peribadi jika ia berlaku,” katanya dalam program Sudut Pandang disiarkan Malaysiapost, malam tadi.
Bagaimanapun Tian Chua berharap pihak berkuasa dapat menyiasat dan mengesahkan ketulenan audio itu.
“Saya ada dengar, tiada apa-apa perbualan itu menunjukkan boleh berlaku ancaman jenayah, mengganggu keselamatan negara. Cuma hanya berbual-bual santai sahaja.
“Tak apa kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengesahkannya. Bagi saya jika benar ia hanya perbualan biasa.
“Sebagai Ahli Parlimen ini biasa kerana selalu berjumpa dan berbual. Tidak ada masalah. Jadi biarlah pihak berkuasa menentukan sama ada ia tulen atau tidak,” katanya.
Rakaman audio perbualan yang tular kelmarin itu, kedengaran suara seperti Anwar memuji Ahmad Zahid mengenai cara Presiden Umno itu mengendalikan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menafikan sekeras-kerasnya audio yang didakwa melibatkan dirinya dengan Anwar. – Malaysiapost

