‘Kenapa nak singkir saya?’ – soal Najib

0
3

DATUK Seri Najib Razak pelik mengapa beliau masih dijadikan sasaran untuk disingkirkan dalam Umno, kononnya bagi memberi laluan kepada kemunculan kepimpinan baharu dikenali Umno 3.0.

Ini kerana, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau kini bukan lagi Presiden Umno ataupun membarisi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

“Saya tak faham kenapa nama saya disebut sedangkan saya bukan presiden parti mahupun ahli MKT Umno.

“Malah, saya mungkin tak dapat pertahankan jawatan Ketua (Umno) Bahagian Pekan pun jika hasrat kerajaan PN untuk membankrapkan saya berjaya.

“Namun, sama ada Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)kekal sebagai presiden atau diganti dengan pemimpin lain secara mutlak ataupun secara sementara dalam masa terdekat, bukan isu paling penting sebab itu proses demokrasi melalui pemilihan parti dan keputusan MKT. Akar umbi yang pilih, kita akur,” katanya dalam hantaran Facebook.

Mengulas lanjut, Najib berkata, apa yang penting adalah memastikan penganti yang mengambil alih kepimpinan tertinggi parti perlu peka dan akur pada kehendak akar umbi.

Katanya, sekiranya niat pemimpin Umno 3.0 itu mengambil alih parti hanya untuk menyokong parti lain untuk menjadi Perdana Menteri, ia bertentangan dengan suara akar umbi yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu.

“Kenapa pula mereka mahu sokong parti lain yang telah merampas kerusi-kerusi Umno melalui lompatan katak, menindas Umno, pernah membeku akaun Umno dan pernah cuba membatalkan Umno?

“Kenapa mereka mahu sokong parti yang ternyata gagal dalam pentadbiran ekonomi dan Covid negara?,” soalnya.

Najib juga mempersoalkan kewajaran mereka menyokong sebuah parti yang terus memberi alasan mengarut tidak membenarkan parlimen bersidang dan memulihkan sistem domokrasi.

“Kenapa mereka ingin sokong parti lain yang mendapat sokongan paling corot dalam survei-survei seperti survei UUM, survei Sinar Harian-SinChew, IDE dan UtusanTV baru-bari ini?

“Adakah rancangan “scheme of things” untuk pecahkan UMNO sudah berjaya dan ramai telah disogok dengan jawatan-jawatan kerajaan?,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, sekiranya niat pemimpin-pemimpin Umno 3.0 itu dalah untuk menentang kehendak dan suara akar umbi maka mereka akan menerika hukuman dasyat dalam pemilihan parti yang melibatkan 160,000 perwakilan.

“Ahli-ahli Umno bukan tak sedar perkara-perkara yang saya sebut di atas. Dan sejarah bakal berulang sebagaimana sebilangan pemimpin PAS kalah teruk dalam pemilihan PAS tahun 2015 sebab mereka bertentang dengan suara akar umbi PAS.

“Dan akhirnya mereka yang kalah telah keluar dan membawa lari kerusi dari PAS tubuh parti PAN. Inilah kebimbangan saya. pada parti tersayang saya,” katanya.

Terdahulu, portal Free Malaysia Today melaporkan, spekulasi tersebar luas berkait rancangan yang sedang berjalan untuk menyingkirkan Ahmad Zahid dan pendahulunya Najib dari pentas politik menjelang Ogos ini.

Menurut sumber, keadaan itu sekali gus menyambut kemunculan kepimpinan baharu parti dikenali sebagai Umno 3.0.

“Umno 3.0 bakal mempunyai kepimpinan baharu yang akan bekerjasama dengan PPBM dan PAS,” katanya.

Selain itu, beliau menambah gesaan supaya Ahmad Zahid berundur dijangka menjadi lebih lantang dalam sedikit masa lagi, terutama dalam kalangan Menteri Umno. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here