PLKS palsu: 2 pegawai Imigresen bersekongkol godam sistem direman

0
2

DUA pegawai Jabatan Imigresen direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu yang ditumpaskan Selasa lalu.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman sehingga 15 April ini selepas mendengar permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Terdahulu, SPRM menahan enam individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket pengeluaran PLKS palsu yang ditumpaskan pada Selasa lalu.

Kesemua mereka yang dipercayai menjadi ‘orang dalam’ dalam melicinkan modus operandi sindiket itu telah diberkas secara berasingan di sekitar Kuala Lumpur, malam tadi.

Empat daripada mereka adalah pekerja teknikal syarikat pembekal sistem, manakala dua lagi kakitangan Jabatan Imigresen (Imigresen) berusia antara 34 hingga 42 tahun.

Sumber berkata, empat pekerja teknikal dipercayai bertanggungjawab memasang peranti dan perisian bagi tujuan menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Selasa lalu, sindiket pengeluaran PLKS palsu tumpas apabila lima individu termasuk seorang bergelar Datuk, ditahan dalam operasi besar-besaran di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Operasi SPRM dengan kerjasama Imigresen turut merungkai kegiatan sindiket itu yang mengakibatkan ketirisan ratusan juta ringgit hasil kepada kerajaan yang sepatutnya diperoleh daripada levi pekerja asing.

Berikutan itu, sebanyak 147 akaun meliputi 30 individu dan 11 syarikat dengan nilai berjumlah RM9.98 juta dibekukan.

Selain itu, 30 unit hartanah dengan anggaran nilai berjumlah RM11.87 juta dan 66 kenderaan bernilai RM13.69 juta, disita serta dibekukan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbaru berkenaan.

“Kami melihat isu penggodaman ini sebagai perbuatan amat serius kepada aspek keselamatan negara.

“Kesemua suspek akan disiasat berhubung pembabitan mereka disyaki bersekongkol menggodam sistem imigresen.

“Segala sudut undang-undang jenayah akan dilihat dalam pelaksanaan siasatan ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/04/09/enam-orang-dalam-bantu-sindiket-plks-palsu-ditahan-sprm/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here